Lima firma China berminat bina kilang pembuatan di Iskandar Puteri

Agreement Exchange Ceremony
Rafizi (lima dari kiri) dan Nik Nazmi (enam dari kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara UEM Sunrise, ITRAMAS dan CMEC pada IGEM 2024 di Kuala Lumpur, hari ini - Gambar ihsan UEM Sunrise

KUALA LUMPUR: Lima syarikat berpangkalan di China menyatakan minat untuk menjadi pembeli dan menubuhkan kemudahan pembuatan tempatan dalam Taman Perindustrian Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor.

Syarikat-syarikat itu akan menduduki tanah 16.2 hektar dalam Taman Perindustrian RE seperti yang diumumkan sebelum ini antara UEM Group Bhd (UEM Group), UEM Sunrise, bersama ITRAMAS Corporation Sdn Bhd (ITRAMAS) dan China Machinery Engineering Corporation (CMEC).

Syarikat-syarikat itu termasuk gergasi industri seperti China Machinery Engineering Wuxi Co Ltd (CMEC WUXI), cabang pembuatan CMEC dan Wuxi Longmax Technology Co Ltd (Longmax), peneraju global dalam kotak penggabung solar photovoltaic (PV) dan penyelesaian eBOS.

Kedua-dua syarikat ini sedang dalam proses menubuhkan operasi pembuatan tempatan di Malaysia, serta membangunkan kemudahan pengeluaran modul solar dan kotak penggabung di dalam Taman Perindustrian RE.

Selain CMEC WUXI dan Longmax, pengeluar RE antarabangsa terkemuka lain seperti Gotion untuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri, Hopewind untuk Inverter Solar, dan Huasun untuk modul Heterojunction (HJT) juga sedang dalam perbincangan untuk melabur di taman perindustrian dan turut serta sebagai pembeli tenaga boleh diperbaharui.

Perkembangan itu diumumkan pada majlis pertukaran perjanjian yang diadakan hari ini antara UEM Sunrise, ITRAMAS, dan CMEC, selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mei 2024 di Beijing oleh ketiga-tiga syarikat berkenaan.

Pertukaran perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pads Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau & Produk Eko Malaysia (IGEM) 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad, berkata Taman Perindustrian RE di Gerbang Nusajaya adalah komponen penting dalam projek loji janakuasa hibrid solar 1 gigawatt (GW) yang menjadi tanda aras di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

"Minat daripada syarikat asing dan pembabitan mereka yang akan datang dalam projek ini akan meletakkan Malaysia secara strategik untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang ketara melalui pelaburan langsung asing.

"Selain itu, ia akan mempercepatkan objektif pelaburan langsung domestik kami dan mengukuhkan strategi penciptaan nilai menyeluruh kami, yang mana adalah agenda yang dikongsi dengan syarikat induk kami, UEM Group.

"Dengan memanfaatkan kekuatan kolektif rakan kongsi, kami sedang membina asas yang kukuh untuk peralihan transformasi ke arah masa depan yang lebih mampan untuk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Taman Perindustrian RE itu adalah sebahagian daripada projek loji janakuasa hibrid solar satu GW, projek di bawah NETR yang akan dijalankan oleh UEM Group melalui anak syarikat milik penuhnya dan bahagian industri hijau, UEM Lestra.


linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram